Sunday 16 February 2020

Fadzlan Siapkan Mural Terbesarnya Di Apartmen Kuala Lumpur

Foto: Malay Mail

HAMPIR berputus asa dan terfikir untuk mengupah orang lain, namun berkat sokongan keluarga serta rakan, Fadzlan Rizan Johani, 40, akhirnya berjaya menyiapkan lukisan mural terbesarnya.
Lukisan mural di bangunan berhampiran Vivo Residential Suites di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, itu bersaiz 1,950 meter persegi dan menjadi mural terbesar di Malaysia yang pernah dihasilkan oleh pelukis individu.
Fadzlan yang ditemui Harian Metro melahirkan rasa lega dan teruja dengan maklum balas orang ramai yang rata-rata memuji hasil ‘air tangannya’ itu.
“Saya mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk menyiapkan keseluruhan mural ini yang bermula April 2019 dan siap Januari lalu.
“Syukur, penat lelah selama berbulan ini terbayar dan inilah hasil mural bertema Tree of Hope yang banyak menonjolkan pokok sawit dan alam semula jadi,” katanya yang terpilih untuk projek melukis mural daripada pemaju, MRCB.
Beliau menganggap kejayaan melukis mural itu sebagai pencapaian cemerlang peribadi buatnya yang sudah memasuki usia 40-an dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah besar sepanjang merealisasikan tugas yang diberi.
Foto: Harian Metro

“Sejak tahun lalu saya sudah menjadi sebahagian daripada komuniti di sini dan sokongan serta motivasi yang diterima masyarakat sekeliling menaikkan lagi semangat saya yang kadang-kala turun naik.
“Saya makan, tidur, mandi dan solat juga di kawasan ini kerana akan mula melukis dan mengecat seawal pagi (selepas Subuh) dan saya berhenti rehat pada 2 petang dan menyambung semula kerja selepas Asar sehingga 3 pagi.
“Ada masanya, isteri datang untuk membantu apa yang perlu dan kenangan yang tak dapat saya lupakan, anak-anak serta keluarga terpaksa datang ke tempat saya pada hari raya mengambil gambar bersama,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi adalah dari segi cuaca kerana apabila hujan dia terpaksa berhenti membuat kerja pada hari lain.
“Saya turut menyewa ‘boom lift’ bagi memudahkan pergerakan mengecat di tingkat yang tinggi kerana bangunan ini mempunyai enam tingkat,” katanya yang menggunakan sebanyak 250 liter cat bagi menyiapkan mural berkenaan.
Katanya, kejayaan itu turut membuktikan rakyat tempatan juga boleh melakukannya dan kini dia bersedia menerima mana-mana tawaran melukis mural.
“Sebagai arkitek bebas, saya tidak pernah membataskan diri untuk membuat kerja lain luar dari bidang saya dan lukisan mural bagi saya adalah seni yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia boleh menjadi aktiviti sekeluarga.
“Saya berharap mural ini dapat menjadi mural terbesar di Malaysia,” katanya yang menerima tawaran mengajar subjek elektif mural di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
(Sumber: MSN.COM)

No comments:

Post a Comment