Tuesday 11 February 2020

Mural Wajah 7 Perdana Menteri Di Terengganu


KUALA TERENGGANU, 10 Feb  -- Kreatif, unik dan sangat bermakna untuk sejarah negara umpama Gunung Rushmore di Amerika Syarikat!
Itu reaksi spontan kebanyakan pengunjung yang melihat mural potret wajah tujuh perdana menteri Malaysia yang terpapar di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di pusat bandaraya Kuala Terengganu di sini.
Ia adalah sebahagian daripada projek Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ( MBKT) yang menelan kos RM30,000 untuk mengindahkan dan menceriakan bangunan tertua di bandar raya itu agar lebih 'segar' dan menjadi daya tarikan pelancong ke bandar raya warisan pesisir air itu.
Mural berukuran 250 kaki persegi itu adalah hasil karya empat pelukis daripada Red Rebel Art Squad yang dianggotai empat anak jati Terengganu iaitu Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 34; Wan Ansri Nizam Wan Ismail, 37; Zulkarnain Abd Latif, 40 dan Mohd Fahmi Abdullah Sani, 30.
Raja Badruddin Hakim Shah atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Bad berkata mereka mengambil masa 27 hari yang bermula 9 Jan sehingga 4 Feb lepas untuk menyiapkan mural istimewa tersebut.
"Projek ini saya andaikan adalah seperti di Gunung Rushmore kerana tujuannya sama iaitu melakar wajah pemimpin nombor satu negara cuma medium dan kaedah sahaja yang berbeza.
"Di Gunung Rushmore, arca wajah empat presiden Amerika Syarikat itu dihasilkan dengan kaedah ukir dan pahat sementara kami hanya melukis mural menggunakan cat yang berkualiti untuk mengabadikan wajah tujuh perdana menteri Malaysia ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mural wajah tujuh perdana menteri itu dipercayai adalah yang pertama di Malaysia. Ia adalah projek ketiga Red Rebel yang tular dan mendapat perhatian netizen selain lukisan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu gergasi di atas bumbung Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lepas.
Pada 2017, mereka diberi tanggungjawab untuk melukis mural yang memaparkan warna warni kehidupan rakyat Terengganu yang berlatarbelakangkan budaya dan warisan bersempena Tahun Melawat Terengganu di bangunan kedai lama dekat Jalan Banggol di sini.
Ku Bad yang merupakan anak ketiga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata mereka berempat melukis mural itu pada waktu petang (selepas habis waktu kerja) sehingga ke lewat malam.
"Cabaran utama adalah cuaca, kami terpaksa berhenti sekiranya hujan dan cabaran seterusnya adalah ketinggian kerana tidak semua mempunyai keberanian untuk melukis di tempat tinggi. 
"Namun, melihat hasilnya kini, Red Rebel sangat berbangga kerana pelukis mural tempatan juga diberi peluang dan mampu bersaing serta menyumbang idea dalam pembangunan seni di Malaysia dan Terengganu khususnya," katanya yang mengakui bakat seni itu banyak diwarisi daripada bapanya.
Kenangan terindah buat Ku Bad adalah ketika 'memakaikan' tengkolok di atas kepala perdana menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
"Daripada tujuh potret ini, hanya Tunku sahaja satu-satunya yang memakai busana tradisional Melayu. Sukar saya gambarkan perasaan ketika memperincikan lukisan tengkolok itu ...ia bercampur baur antara bangga, terharu dan gembira dapat menyumbangkan tenaga untuk mural istimewa ini.
"Apatah lagi Tunku Abdul Rahman lah individu yang mengisytiharkan kemerdekaan negara pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 yang secara tidak langsung memberi satu mesej untuk saya agar melakukan sesuatu supaya generasi akan datang terus berpegang teguh dengan jati diri sendiri iaitu Islam, Melayu dan berkhalifah (Raja)," katanya yang sedia melukis lebih banyak mural di mana-mana lokasi sekiranya mendapat permintaan.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment